Sunday, February 01, 2009

Rambut sama hitam

Baru-baru ini fikiran saya terganggu dengan gambar-gambar perkahwinan yang disiarkan di akhbar 'Berita Harian'. Sekali imbas, saya sangka gambar-gambar tersebut ialah satu perkahwinan bukan Islam namun sangkaan saya ternyata salah bila dibaca keratan akhbar tersebut.

Agak sukar sekarang membezakan antara Islam dengan bukan Islam kerana dari luar ada di antara kita yang nampak sama. Di dalam hati saya inilah kesan negatif meritokrasi yang ingin memberi peluang yang sama kepada semua. Malangnya, pada masa yang sama kita juga menjadi 'sama' dalam setiap segi.

Di dalam negara yang berbilang bangsa dan agama ini, mewajibkan setiap orang 'kelihatan' sama adalah satu kepincangan yang disembunyikan dalam etos kewarganegaraan yang dipandang mulia. Bukan saja diri seseorang itu dinafikan di dalam pelosok-pelosok tertentu, dia juga dimasukkan ke dalam acuan apa yang dipandang sebagai peranannya dalam masyarakat berdasarkan keupayaan-keupayaan yang difikirkan ada padanya.

Adalah tidak salah mensosialisasikan masyarakat kepada kepentingan umum tetapi kita tidak boleh menolak ketepi perbezaan masing-masing dalam kepercayaan dan kelakonan. Melakukan demikian hanya menjadikan interaksi sosial antara kaum dan agama hanya berlaku pada tahap sandiwara yang berdasarkan pertukaran perspektif yang palsu.

Pada diri orang Islam sendiri juga mestilah ada pendirian untuk tidak dibawa arus ini dan berpegang teguh kepada prinsip-prinsip agama. Kita tidak harus rasa terpaksa untuk diterima orang sekeliling sehingga menggadaikan apa yang kita percaya dan amalkan, mahupun melakukan lebih kurang bila di kalangan bangsa dan agama lain.

Di dalam hal ini, satu golongan yang kritikal ialah para pelajar kita. Di sekolah-sekolah, agama dan tradisi menjadi sesuatu yang disembunyikan kerana inilah suasana di dalam mana mereka dididik. Tanpa kita sedari, kita telah memberi kebenaran untuk anak-anak kita dibesarkan dalam institusi yang kosong dari segi kerohanian dan kemudian kita menyoal kenapa orang Melayu Islam begitu bermasaalah. Manusia itu roh dan jasad, jika tidak disuburkan dengan yang baik, roh itu akan mencari yang lain; ia tidak dapat wujud dalam kekosongan.